Wednesday, March 26, 2008

Wawancara bersama Cikgu Ismail Ja’afar


Sudah berapa lama cikgu mengajar?

- Saya sudah mengajar selama 12 tahun. Saya mula masuk ke Maktab Perguruan NIE pada tahun 1994. Kemudian, setelah menamatkan kursus Diploma Pendidikan, saya berkhidmat di Sekolah Menengah Boon Lay.


Adakah mengajar ini menjadi cita-cita cikgu sejak kecil?

- Sebenarnya, kerjaya sebagai guru ini merupakan kerjaya nombor dua saya. Sebelum saya mula mengajar, saya bertugas sebagai jururawat kanan di beberapa buah hospital, kurang lebih selama tujuh tahun. Banyak juga pengalaman yang saya alami. Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan bahawa pada suatu hari saya akan menjadi jururawat dan seorang guru bahasa Melayu.

- Apa yang saya ingat, minat saya terhadap bahasa Melayu berputik apabila saya
mengikuti kelas hujung minggu (untuk peperiksaan GCE ‘A’). Ketika itu guru
bahasa saya, Cikgu Muhammad b. Ismail telah memberikan pengajaran tentang
bahasa dan sastera Melayu yang agak menarik. Setelah beberapa tahun mengikuti
kelas sastera yang beliau kendalikan untuk pelajar-pelajar dewasa yang akan
menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’, saya rasa terpanggil untuk menjadi
seorang guru bahasa dan guru sastera.


Apa yang membuat cikgu memilih untuk mengajar di Sekolah Menengah Shuqun?

- Sebenarnya, ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk mengajar di sini.
Pertama, saya tinggal berdekatan dengan sekolah, jadi saya tidak perlu tergesa-
gesa untuk ke sekolah pada waktu pagi. Saya juga dapat menjimatkan masa
perjalanan dan kos pengangkutan. Namun demikian, ada cerita di sebalik
mengapa saya mengajar di sini.

Ada seorang guru yang kebetulan akan bersara, kalau saya tak silap, Cikgu
Sariah. Jadi rakan sekuliah saya iaitu Cikgu Azizah menawarkan saya mengajar di
Shuqun. (Ketika itu saya sedang mengikuti kursus Sarjana Muda Pendidikan di
NIE). Setelah mempertimbangkan tawaran itu, saya telah mengambil keputusan
untuk berjumpa dengan Mrs Chua (sekarang beliau berkhidmat sebagai Pengetua
di Sekolah North Light) untuk ditemuduga. Akhirnya, saya diterima untuk
mengajar di sini. Begitulah ceritanya.

Jadi, diam tak diam dah masuk lima tahun saya bertugas di sini, sejak tahun 2003.


Apa pandangan cikgu tentang sekolah, murid-murid dan guru-guru di sini?

- Saya rasa ini pertanyaan yang berat dan perlukan jawapan yang teliti dan ikhlas. Saya rasa jiwa saya serasi dan sesuai mengajar di sekolah kejiranan. Semasa saya
di Sekolah Menengah Boon Lay dahulu, setiap tahun saya mengajar kelas Normal
Teknikal dan menjadi guru darjah mereka. Saya rasa, saya dah faham betul jiwa
mereka. Jadi, pandangan saya tentang sekolah ini ada bermacam-macam.

Terus terang saya katakan, saya gembira mengajar di sini. Pertama, saya
menganggap sekolah ini sebagai rumah nombor dua bagi saya. Saya dikurniakan
rakan guru yang sangat menyokong tentang apa yang saya usahakan. Mereka juga
telah memberikan kerjasama yang padu kepada saya. Walaupun kerja pentadbiran
menimbun dan begitu mendesak, dengan kerjasama dan bantuan rakan-rakan
guru di sini, saya mampu melaksanakannya dengan mudah dan sempurna.

Tentang sekolah pula, saya suka akan suasananya yang menyenangkan mata
memandang. Sekolah ini umpama sebuah taman bunga dengan tumbuhan-
tumbuhan yang menghijau dan mempunyai lanskapnya yang indah.

Tentang murid-murid Shuqun pula, saya mempunyai pandangan yang pelbagai.
Secara keseluruhan saya dapat lihat bahawa setiap murid Shuqun inginkan
kejayaan dalam bidang pelajaran. Tetapi malangnya atas sebab masalah
sampingan yang mereka hadapi seperti masalah di rumah, salah memilih kawan,
masalah sikap, dan sebagainya, membuat mereka terpesong daripada tujuan yang
sebenar mereka ke sekolah.
Sekian, terima kasih kepada Cikgu Ismail.







No comments: